Jejakku,ku jejakmu

Saturday, June 22, 2013

Jerebu dan kehamilan anda

Apakah itu jerebu?

Di kebanyakan negara di Asia Tenggara, jerebu merujuk kepada lapisan tebal kabus asap atau asbut yang melitupi rantau ini, selalunya antara bulan Mei dan Oktober. Asbut adalah pekat dengan bahan pencemar udara. Asbut disebabkan oleh kombinasi beberapa faktor: kebakaran bahan pertanian dan hutan di Sumatera di musim cuaca kering diiringi oleh angin timur yang meniup asap tebal itu ke arah Malaysia, Singapura, Brunei dan ke beberapa lokasi di selatan negeri Thailand dan Filipina. Sejak lewat tahun 1990-an, jerebu merupakan suatu acara tahunan yang tidak diingini. 

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diketahui bahawa terdapat sumber lain yang menyebabkan pencemaran udara di negara ini. Tanah gambut yang dijilat api di Semenanjung juga menyebabkan jerebu melitupi kawasan Lembah Kelang dan kawasan bandar utama yang lain. Jerebu juga berpunca dari pembakaran terbuka bahan sampah, asap dari kilang dan penjana kuasa yang menggunakan arang dan tidak ketinggalan, wasap ekzos dari kenderaan di jalan raya. 

Adakah jerebu menjejaskan saya dan bayi dalam kandungan?

Jerebu boleh memudaratkan kualiti udara sekeliling. Laporan Organisasi Kesihatan Sedunia 2006 mengesahkan bahawa kesan jerebu adalah lebih ketara di kalangan kanak-kanak di bandar, selain warga emas dan mereka ada menghidapi masalah respiratori. 

Banyak kajian di negara asing telah membuktikan bahawa pencemaran udara boleh membahayakan bayi dalam kandungan. Ini adalah sebab bahan pencemar yang disedut semasa ibu bernafas boleh sampai masuk ke dalam rahim melalui tali pusat. 

Baru-baru ini, penyelidik-penyelidik di New York telah menemui kaitan antara pendedahan ibu hamil kepada pencemaran udara dengan pencapaian rendah skor IQ anak mereka di usia kanak-kanak, justeru, menguatkan lagi bukti bahawa asbut boleh membahayakan perkembangan otak bayi dalam kandungan. Kajian di Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Korea Selatan dan Taiwan juga telah membuat kaitan antara asbut dengan berat kelahiran yang rendah, kelahiran bayi pramatangkematian bayi dalam kandungan dan kematian di usia bayi. Satu lagi kajian menunjukkan bahawa ibu-ibu yang tinggal di kawasan yang mempunyai tahap ozon dan karbon monoksida yang tinggi adalah tiga kali ganda lebih cenderung melahirkan bayi yang mempunyai bibir dan lelangit rekah dan kecacatan injap jantung. Risiko yang paling besar berlaku semasa bulan kedua kehamilan, apabila fetus sedang membentuk struktur muka dan organ-organ. 

Bagaimana untuk meminimakan pendedahan saya kepada jerebu?

Jabatan Kesihatan mempunyai satu senarai langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya berlaku "kecemasan jerebu" (apabila Indeks Harian Bahan Pencemar Udara melebihi 500). 

Jangan keluar rumah seberapa yang boleh. Semasa anda berada di dalam rumah… 

• pastikan semua pintu dan tingkap ditutup; 
• buka penghawa dingin (jangan buka kipas kalau boleh) dan jika ada bajet, elok jika anda memasang penghawa dingin dengan penapis HEPA (Partikel Halus Kefisienan Tinggi); 
• mop basah rumah dan kawasan dalaman rumah anda (menyapu dengan penyapu biasa TIDAK digalakkan); 
• gunakan dapur elektrik, oven atau ketuhar mikro gelombang untuk memasak (menggunakan dapur kayu, gas atau arang untuk memasak di dalam rumah TIDAK digalakkan). 

Jika anda bercadang untuk menggunakan pembersih udara, Jabatan Kesihatan menyarankan pembersih mekanikal yang menggunakan fiber atau penapis kain – pembersih udara elektronik TIDAK digalakkan sebab alat mengionkan (cas elektik) molekul udara akan mengeluarkan sedikit ozon sebagai produk sampingan (ini sebenarnya akan memburukkan lagi kualiti udara!). 

Secara teknikalnya, alat pelembap bukanlah pembersih udara tetapi bertindak dengan cara melembapkan partikel habuk dalam udara. Kelembapan yang dihasilkan juga membantu mengurangkan gangguan respiratori. 

Jika anda perlu berada di luar rumah, amalkanlah penggunaan topeng N95 (sebab ia sesuatu yang mampu menapis 95 peratus daripada partikel habuk saiz lebih 0.3 mikron). Topeng kegunaan surgeri juga adalah satu pilihan yang baik. Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru harus bertanyakan doktor dahulu sebab topeng boleh sedikit sebanyak menyekatkan aliran udara. 

Jangan membuat perjalanan. Perjalanan perlu diminimakan bagi urusan penting sahaja. Tidak menggunakan kereta akan membantu mencegah pengurangan kualiti udara di samping meminimakan risiko kemalangan jalan raya disebabkan kadar penglihatan yang buruk. Jika anda perlu memandu… 

• buka penghawa dingin dan pastikan ia dalam mod "putaran udara dalaman"; 
• pastikan semua tingkap ditutup; 
• buka lampu untuk mencerahkan lagi penglihatan jalan; 
• jangan biarkan anak anda tinggal dalam kereta tanpa pengawasan; 
• jangan merokok dan jangan benarkan orang lain merokok dalam kereta anda. 

Terdapat langkah-langkah keselamatan tambahan yang boleh diambil bagi seorang pemandu maupun penumpang. 

• Anda boleh menggunakan tali pinggang keledar walaupun hamil. Baca dengan lebih lanjut mengenai cara betul memasang tali pinggang keledar semasa hamil. 
• Begitu juga dengan kanak-kanak; pastikan mereka duduk secara terselamat dalam kerusi kereta kanak-kanak. 

Apa lagi yang boleh membantu?

Jangan salahkan diri anda jika anda merasakan tak tahu bagaimana hendak bertindak apabila jerebu semakin teruk. Sebenarnya anda masih boleh mengawal kesihatan antenatal anda. 

• Jauhi diri dari perokok tetapi jika anda sendiri seorang perokok, berhentilah dengan segera. Terdapat banyak tip dari kami yang boleh membantu anda. 

• Banyakkan minum air - Kementerian Kesihatan, melalui portal myHealth menyarankan bahawa apabila keadaan jerebu teruk, anda harus minum dua liter air sehari. 

• Cuci tangan dan muka anda sebaik sahaja anda masuk ke dalam rumah. 

• Jika anda mempunyai sebarang masalah kesihatan kronik yang memerlukan anda memakan ubat, pastikan anda mempunyai bekalan yang mencukupi. 

• Pastikan anda kekal sihat dan cergas sebab masih ada pelbagai aktiviti dalaman yang boleh anda lakukan seperti senaman Pilates atau aerobik impak rendah. Baca dengan lebih lanjut mengenai senaman dan kecergasan semasa kehamilan di sini. 

• Pastikan anda mengikuti diet yang berkhasiat dan seimbang. Cuci atau kupaskan buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain itu, adalah baik, buat masa ini, jika anda menjauhi pasar basah atau pasar tani dan sebaliknya memanfaatkanlah kemudahan membeli-belah secara terlindung di pasar raya yang berhampiran. 

Apakah tindakan yang sedang diambil mengenai jerebu?

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) telah bersetuju dengan Pelan Tindakan Jerebu Serantau pada tahun 1997, yang akan menjalankan usaha sama untuk mengawasi, mencegah dan mengurangkan pencemaran jerebu merentasi sempadan antarabangsa. 

Pada tahun 2002, satu perjanjian lanjutan, Perjanjian Mengenai Jerebu Merentas Sempadan, telah dimerterai. Langkah-langkah diambil berdasarkan perjanjian ini yang melibatkan pelaksanaan Strategi Pengurusan Kawasan Tanah Gambut Asean, menguatkuasakan satu polisi pembakaran sifar dan amalan pembakaran terkawal dan menggemblengkan satu panel pakar-pakar Asean bagi Penilaian dan Penyelarasan Kebakaran dan Jerebu. 

Anda boleh mendapatkan maklumat mengenai situasi jerebu setiap hari melalui laman web khas yang ditubuhkan oleh Sekretariat Asean, HazeOnline. 

Dalam pada itu, segala usaha, betapa kecil, dapat membantu. Jika anda ternampak mana-mana pembakaran terbuka, laporkan ia kepada Jabatan Alam Sekitar: 
• Talian Aduan, 03-88891972; 
• Talian Penting, 1-800-88-2727. 

Anda juga boleh mengawasi kualiti udara di kawasan tempat tinggal anda (dari Baik, Sederhana, Tidak Sihat dan Sangat Tidak Sihat hingga ke Berbahaya!) di Indeks Harian Bahan Pencemar Udara. 
Semakan terakhir: April 2010 

http://www.babycenter.com.my/a1036967/jerebu-dan-kehamilan-anda#ixzz2X16iHfl8

No comments:

Post a Comment